Oleh: Shafira Aziz
PARLIMEN | Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, menyuarakan gesaan kepada kerajaan untuk memasang tanda amaran dan lampu di kawasan yang sering dilalui binatang liar, terutama di kawasannya yang berdepan risiko tinggi serangan hidupan liar seperti harimau.
Langkah ini, katanya, dapat meningkatkan keselamatan orang ramai serta memaklumkan pemandu agar lebih waspada apabila melalui kawasan tersebut.
“Penduduk dan pemandu perlu diberi peringatan di kawasan berisiko ini demi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujar Zahari ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Zahari turut menzahirkan kebimbangan mengenai konflik antara manusia dan haiwan liar yang semakin membimbangkan, terutama di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, insiden baru-baru ini di Lebuhraya Timur-Barat di Jeli di mana dua individu maut akibat serangan harimau telah mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk tempatan.
“Orang ramai terutama di Kampung Lawar kini hidup dalam ketakutan, meskipun harimau yang terlibat telah ditangkap,” jelasnya.
Beliau juga menekankan bahawa kemunculan haiwan liar ini mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan ekosistem akibat penerokaan hutan yang tidak terkawal.
Menurut Zahari, tindakan agresif untuk membuka kawasan hutan kepada pembangunan dan pertanian perlu dipantau dengan lebih teliti bagi mengelakkan kesan buruk terhadap hidupan liar.
“Penerokaan besar-besaran ini merosakkan habitat semula jadi haiwan dan akhirnya mendorong mereka untuk mencari makanan dan tempat tinggal di kawasan penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Zahari turut memuji kerajaan atas peruntukan yang meningkat kepada RM250 juta dalam Belanjawan 2025 bagi usaha pemuliharaan dan pelestarian alam.
Walau bagaimanapun, beliau berharap dana ini dapat dimanfaatkan untuk program pemantauan dan kawalan yang lebih ketat di kawasan berpotensi konflik antara manusia dan haiwan.
“Peruntukan besar ini harus digunakan untuk menjaga ekosistem dan memastikan keseimbangan alam semula jadi,” tambahnya.
Selain daripada tanda amaran, beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah lain, seperti rondaan kerap di kawasan yang sering diceroboh haiwan liar.