PM lawat China bertemu Presiden Xi Jinping, Premier Li Qiang

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan kerja ke China mulai hari ini hingga 7 November 2024 atas jemputan rakan sejawatnya Premier Li Qiang.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Ahad, lawatan itu bertujuan menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh di Shanghai, di mana Malaysia diberi penghormatan sebagai ‘Country of Honour’ tahun ini.

“Semasa di Shanghai, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala bersama Li Qiang untuk membincangkan hubungan dua hala dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” kata Wisma Putra dalam kenyataan.

Selain itu, Anwar akan menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan CIIE dan merasmikan Astaka Malaysia serta Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

CIIE adalah inisiatif oleh Kerajaan China untuk menyediakan platform kepada negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) untuk mempromosikan dan mengeksport produk dan perkhidmatan ke negara tersebut.

Beliau juga akan mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan dan sesi meja bulat dengan kapten industri dari China.

Perdana Menteri juga akan melawat Beijing selama dua hari bermula 6 November, di mana beliau dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.

Anwar juga akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre.

Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Lawatan itu dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini.

China telah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah perdagangan bernilai RM450.84 bilion pada tahun 2023.

Anda Mungkin Berminat