Ringgit kekal stabil, didorong permintaan domestik dan keyakinan pelabur – BNM

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengakui kestabilan Ringgit Malaysia pada tahun ini adalah hasil permintaan domestik dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

Menurut BNM, ringgit terus kekal sebagai ‘pelakon’ terbaik di kalangan pasaran baharu yang muncul pada tahun ini apabila pertumbuhan ekonomi melebihi anggaran penganalisis.

“Memandangkan Malaysia adalah ekonomi kecil dan terbuka, ringgit akan terus terpengaruh oleh perkembangan pasaran kewangan global dan dinamik pasaran pertukaran asing jangka pendek.

“Kehadiran kami (bank pusat) dalam pasaran pertukaran asing adalah untuk menguruskan ketidaktentuan yang berlebihan dalam kadar pertukaran dan memastikan keadaan pasaran yang teratur,” jelas BNM.

Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh BNM pada pukul 11 pagi, ringgit dibuka lebih tinggi iaitu sebanyak 4.3750 berbanding 4.3780 pada sesi penutupan Jumaat lalu.

Namun begitu, di peringkat sekumpulan mata wang utama, Ringgit Malaysia berada pada kadar prestasi bercampur.

Sebagai contoh, nilai mata wang di Eropah dibuka pada 4.7511/7641, berbanding 4.7532/7592 sebelumnya, namun sedikit merosot berbanding pound British kepada 5.6605/6760 daripada 5.6502/6573 pada penutupan Jumaat lalu.

Unit tempatan juga mengalami penurunan berbanding yen Jepun kepada 2.8693/8776 berbanding 2.8652/8690.

Namun, nilai mata wang di peringkat ASEAN menunjukkan prestasi yang baik. Sebagai contoh, nilai rupiah Indonesia meningkat kepada 277.7/278.6 daripada 278.2/278.7, serta naik berbanding peso Filipina kepada 7.48/7.51 daripada 7.49/7.51 semasa penutupan Jumaat lalu.

Ringgit juga kukuh berbanding baht Thailand pada 12.8897/12.9377 berbanding 12.9103/9322, tetapi sedikit rendah berbanding dolar Singapura pada 3.3056/3149 daripada 3.3054/3098.

Anda Mungkin Berminat