PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa tiada sebarang penemuan berjumlah RM94 juta seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Pendang di Parlimen hari ini.
Dalam satu kenyataan, SPRM menyatakan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki tidak pernah membuat sebarang kenyataan ada wang yang ditemui di kediaman bekas Menteri.
“Walaupun SPRM menghormati hak Ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan mereka secara bebas, adalah penting agar kenyataan yang dibuat berasaskan fakta yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan.
“SPRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang kenyataan telah dibuat oleh Suruhanjaya ini mahupun Ketua Pesuruhjaya SPRM berkaitan penemuan jumlah tersebut di kediaman bekas Menteri tersebut,” katanya yang turut dikongsikan di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Datuk Awang Solahuddin Hashim meminta penjelasan daripada Kerajaan mengenai perkembangan kes penemuan wang RM94 juta yang didakwanya dijumpai di rumah bekas menteri.
Beliau membuat dakwaan itu di Dewan Rakyat hari ini.