Oleh: Syahirah Harish
PETALING JAYA: Kerugian RM44 juta yang dialami oleh FashionValet Sdn Bhd, hasil pelaburan oleh Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah menimbulkan pelbagai persoalan.
Memetik laporan daripada Malaysiakini tentang ulasan lanjut daripada bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee menyatakan bahawa kerugian dalam pelaburan modal teroka (VC) adalah risiko yang diketahui dengan tiga atau empat daripada sepuluh pelaburan berdepan kerugian.
Namun, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii tidak bersetuju dan menegaskan bahawa terdapat tanda-tanda amaran (redflags) sejak awal.
Menurutnya, penilaian syarikat yang terlalu tinggi, kekurangan akauntabiliti dan pemantauan walaupun syarikat mengalami kerugian adalah isu utama.
Beliau juga menyatakan bahawa tiada wakil Khazanah atau PNB dalam Lembaga Pengarah untuk memantau atau memberi nasihat.
“Tidak boleh hanya memberikan sejumlah besar wang dan membiarkan pelaburan dijalankan tanpa akauntabiliti atas alasan ‘pelaburan VC berisiko tinggi’.
“Walaupun hujah TP (Tony Pua) ada meritnya, kita perlu mengeluarkan emosi dari perkara ini.
“Siasatan sepatutnya memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus dan akauntabiliti dan tidak boleh menjadi satu pemburuan yang membabi buta yang akan menjejaskan ekosistem VC masa depan,” ciapnya di X.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung turut bersetuju bahawa Khazanah perlu menjelaskan keraguan berkenaan isu ini.
“Khazanah perlu menjelaskan sebab-sebab pelaburan tersebut dan menunjukkan siapa yang berjaya dalam pelaburan berisiko tinggi ini,” ciapnya di X.
FashionValet kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara ini.