Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) tidak memiliki kedudukan moral untuk menghukum mana-mana negara yang cuba menyelamatkan tanah air mereka daripada pembunuhan secara terbuka.
Ahli pakar Geostrategik, Dr Azmi Hassan berkata AS tidak boleh menekan mana-mana negara yang ingin menyalurkan bantuan kepada masyarakat di Gaza.
Ujarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan sokongan Malaysia secara lantang dalam memperjuangkan rakyat Palestin tidak mendedahkan negara ini terhadap ancaman kuasa besar.
“Sukar bagi AS untuk menyekat negara yang menyokong perjuangan palestin terutamanya di Gaza kerana itu dikatakan genosid.
“Kalau mahu menghukum kerana Palestin, maka begitu banyak negara yang akan dihukum oleh AS. Terkecuali jika terdapat terang-terangan Malaysia membantu Hamas yang AS anggap itu sebagai kumpulan pengganas.
“Jadi, sama sekali tidak timbul isu AS akan menekan mana-mana negara yang menyokong Palestin dan dalam masa sama tidak menekan Israel dalam hal ini,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Tambahnya, selain Malaysia majoriti negara lain turut mahu menyelesaikan masalah tidak berperikemanusiaan di Gaza.
Semalam, Anwar di Dewan Rakyat menegaskan satu draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) siap dengan cadangan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.