Oleh: Haikal Tajuddin
JAKARTA: Enam daripada 10 pengusaha syarikat telah memecat ramai pekerja generasi (gen) Z di ibu negara Indonesia tahun ini kerana pelbagai faktor.
Badan bebas, Intelligent melaporkan daripada penyelidikan, mereka mendapati antara punca mereka dipecat adalah kurangnya sifat profesional dan motivasi golongan ini dalam melakukan pekerjaan.
Menurut Ketua Penasihat Pendidikan dan Pengembangan Karier intelligent, Huy Nguyen, cara komunikasi yang kurang berkesan juga turut menjadi punca kepada generasi Z ramai dibuang kerja.
“Ramai gen Z yang berkelulusan tinggi sukar untuk memasuki alam pekerjaan kerana perkara berikut dan sangat berbeza dari apa yang mereka pelajari sewaktu di universiti.
“Menerusi tinjauan yang dibuat, 50 peratus daripada mereka adalah disebabkan kurangnya motivasi sewaktu bekerja manakala 46 peratus adalah kurangnya profesionalisme,” jelasnya memetik CNBC Indonesia baru-baru ini.
Selain itu, agensi ini turut mendapati beberapa pekerja gen Z sukar mengurus beban kerja, sering terlambat dan tidak berpakaian sesuai kerja.
Beliau turut berkata, 70 peratus pekerja gen Z kini terlalu bergantung kepada pertolongan ibu bapa sepanjang mencari pekerjaan malahan meminta pertolongan mereka menulis ‘resume’ sebelum di hantar kepada bakal majikan.