Mahkamah benarkan ‘giveaway’ AS$1 juta sehari Elon Musk diteruskan

Oleh: Shafira Aziz

PENNSYLVANIA: KEPUTUSAN terbaru dari Hakim Mahkamah, Angelo Foglietta telah membolehkan kempen ‘giveaway’ bernilai AS$1 juta (RM4.37 juta) sehari yang dijalankan oleh kumpulan politik tajaan Elon Musk untuk diteruskan.

Kempen ini dilancarkan di tujuh negeri utama dan dijangka berperanan besar dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024, dipercayai menyasarkan pengundi yang berpotensi memihak kepada calon Republikan, Donald Trump.

Elon Musk secara terbuka menyatakan sokongan beliau, termasuk sumbangan AS$75 juta (RM328 juta) kepada America PAC (Political Action Committee) sebagai sebuah organisasi politik yang membantu beberapa calon Republikan, termasuk Trump sendiri.

Walaupun pada awalnya Musk mendakwa pemenang akan dipilih secara rawak, kenyataan daripada pembantu-pembantunya menunjukkan sebaliknya.

Mereka mendakwa pemenang telah dipilih berdasarkan personaliti dan kesesuaian nilai mereka dengan agenda PAC tersebut.

“Penerima AS$1 juta bukan dipilih secara kebetulan. Kami tahu siapa penerima untuk hari ini dan esok,” ujar peguam Musk, Chris Gober, merujuk kepada pengumuman pemenang di Arizona dan Michigan sehari sebelum pilihan raya.

Ahli politik Demokrat seperti Peguam Daerah Larry Krasner mengkritik kempen tersebut sebagai satu penipuan untuk mempengaruhi pilihan raya kebangsaan.

Krasner juga mempertikaikan bagaimana PAC itu mungkin menggunakan data pengundi yang mendaftar yang dikumpulkan daripada lebih sejuta individu di tujuh negeri penting.

“Mereka ditipu untuk menyerahkan maklumat mereka dan data ini mempunyai kegunaan yang hampir tidak terhad,” katanya, lapor Al Jazeera.

Tindakan Musk itu telah mengundang pelbagai reaksi dengan beberapa pihak melihatnya sebagai usaha politik yang tidak jujur.

Namun dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya, Musk kini bebas meneruskan inisiatif kontroversi ini menjelang pilihan raya.

Anda Mungkin Berminat