Oleh: Shafira Aziz
SHANGHAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Astaka Malaysia di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di Shanghai, China.
Kehadiran Malaysia dalam ekspo tersebut membawa mesej kuat mengenai kerjasama ekonomi dan keterlibatan aktif negara dalam perdagangan global.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menyatakan rasa bangga terhadap Astaka Malaysia yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Astaka ini menghimpunkan 16 pempamer dan 17 reruai yang mengetengahkan pelbagai produk dan teknologi inovasi syarikat Malaysia,” katanya.
Lawatan Anwar ke China turut diserikan dengan perasmian Astaka yang dikendalikan oleh Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry Malaysia (ACCCIM) yang mengetengahkan 18 syarikat tempatan dan lebih 30 reruai khusus dalam makanan, minuman dan perkhidmatan.
“Ini membuka peluang kerjasama dan mengukuhkan kehadiran Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Majlis ini turut dihadiri oleh Premier China, Li Qiang yang menunjukkan komitmen negara tersebut untuk terus memperkukuhkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia.
Kehadiran Malaysia di CIIE bukan sekadar membawa nama negara tetapi membuka ruang perniagaan yang lebih luas dan berpotensi memberi impak besar kepada ekonomi tempatan, di samping memperkukuh hubungan dengan China yang merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia.