Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN | Daripada 26 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh pantai timur, hanya satu sahaja telah siap iaitu di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa 10 lagi projek masih dalam peringkat pra pelaksanaan, manakala 10 lagi sudah diiklankan untuk mendapatkan tender dan selebihnya masih dalam proses reka bentuk.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan bahawa daripada projek yang belum siap itu, 14 daripadanya menghadapi masalah pelaksanaan berpunca daripada pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.
“Kita sudah dapat persetujuan dengan syarikat utiliti cumanya waktu pelaksanaan kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan dengan segera supaya tidak menjejaskan pelaksanaan projek ini nanti,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Terdahulu, beliau menyatakan bahawa 26 projek RTB di Pantai Timur itu melibatkan kos RM8 bilion.
Fadillah menegaskan bahawa meskipun ada projek yang menghadapi masalah pelaksanaan, namun tidak akan melibatkan kos tambahan.
“Kalau itu berlaku biasanya tidak menjejaskan harga cuma ada lanjutan waktu untuk mereka (kontraktor) siapkan.
“Cuma kalau berlaku perubahan skop kerja yang mengakibatkan tapak diubah sebab keadaan tapak itu ada perubahan daripada segi harga, kalau peruntukan tidak cukup kita terpaksa mohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Ekonomi dan itu mungkin akan jejaskan kos pembinaan itu sendiri,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary yang meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan langkah drastik dalam menyelesaikan kelewatan projek RTB di Pantai Timur.