Shahril Hamdan persoal isu pengurusan, pelaburan FashionValet 

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kerugian yang dialami oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) yang berjumlah RM43.9 juta telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ (KS), bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mempersoalkan beberapa isu penting untuk memahami situasi yang dihadapi oleh syarikat tersebut.

Shahril menekankan pentingnya untuk melihat kepada pengurusan semasa FashionValet.

“Adakah pengurusan yang wujud pada 2018 itu masih ada sekarang?” soalnya dalam podcast tersebut.

Beliau merujuk kepada kerugian tersebut mungkin tidak melibatkan pihak pengurusan terkini, memberikan konteks yang adil untuk menilai prestasi pengurusan semasa tanpa membebankan mereka dengan keputusan masa lalu.

Shahril turut mempersoalkan keadilan penilaian pelaburan yang dilakukan. Dengan FashionValet dinilai pada RM300 juta, Shahril mencatatkan bahawa ia adalah lebih kurang dua kali ganda daripada hasil jualan.

“Adakah penilaian ini wajar pada waktu pelaburan dibuat?” soalnya.

Beliau juga mempersoalkan pemantauan terhadap penggunaan dana pelaburan.

“Tidakkah ada penjagaan untuk memastikan penggunaan dana RM40 juta lebih itu?” soal beliau, merujuk kepada keperluan untuk memastikan bahawa dana yang diterima digunakan untuk tujuan yang benar-benar berkesan.

Akhir sekali, beliau menekankan perlunya untuk menilai semula sama ada Khazanah dan PNB adalah entiti yang paling sesuai untuk melakukan pelaburan secara langsung dalam syarikat-syarikat seperti FashionValet.

“Adakah Khazanah dan PNB entiti yang terbaik untuk membuat modal teroka (VC)?” soalnya, mencerminkan keraguan mengenai kebolehan kedua-dua institusi ini dalam menguruskan risiko pelaburan yang tinggi.

Anda Mungkin Berminat