Usaha pencarian MH370 diterus, tiada bayaran jika tidak jumpa

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan usaha untuk mencari bangkai pesawat MH370.

Katanya, sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperoleh, maka operasi pencarian selanjutnya akan dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Ini merupakan pendirian yang konsisten oleh Kerajaan Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Justeru, kerajaan melaksanakan rundingan bersama syarikat Ocean Infinity di United Kingdom bagi tawaran mengesan bangkai pesawat itu, melalui operasi pencarian dasar laut.

Katanya, rundingan itu yang dibuat sejak Jun lalu membabitkan pengesanan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer (km) persegi di Selatan Lautan Hindi.

“Rundingan ini berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’ yang mana kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan syarikat Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat terbabit.

“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan boleh dipertimbangkan kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah Kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan usaha mencari pesawat MH370.

Dalam pada itu, Anthony berkata, sebilangan kecil keluarga dan waris mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi enggan menerima pampasan.

Jelasnya, walaupun tarikh tuntutan pampasan telah berakhir, terdapat waris penerbangan MH370 yang masih enggan mengemukakan tuntutan atas pelbagai sebab.

“Kementerian Pengangkutan mengambil sikap bahawa sekiranya waris-waris ini sanggup untuk menerima bayaran tersebut kita terbuka untuk berbincang dan menjadi pengantara antara syarikat penerbangan dan waris.

“Tapi ada sebilangan yang tidak sanggup atas beberapa sebab peribadi, mereka merasakan masih ada harapan untuk mereka menerima kepulangan ahli keluarga mereka,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat