2 syarikat pelabur China teroka kerjasama dengan Khazanah – PM

Oleh: Shafira Aziz

SHANGHAI: Pelabur antarabangsa semakin tertarik untuk meneroka peluang kerjasama dengan Khazanah Nasional (Khazanah) usaha yang bakal memberi impak besar kepada sektor teknologi dan inovasi negara.

Dalam lawatannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pelabur-pelabur dari Chengwei Capital dan NRL Capital yang merupakan pemain utama dalam bidang semikonduktor dan pembangunan kluster industri berteknologi tinggi di China, akan berusaha untuk bekerjasama dengan Khazanah.

“Insya-Allah, kedua-dua pelabur ini akan meneroka kerjasama dengan Khazanah dalam usaha melahirkan syarikat generasi baharu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Kerjasama itu dijangka dapat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global terutama dalam sektor teknologi tinggi yang semakin berkembang pesat di seluruh dunia.

“Usaha ini akan memacu matlamat Ekonomi MADANI dengan memupuk inovasi serta menjadikan teknologi lebih mudah diakses dan inklusif untuk semua,” katanya.

Malaysia kini dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik dengan sokongan tenaga kerja berbakat dan dasar-dasar yang mesra pelabur.

Fokus utama kerajaan adalah untuk menggalakkan pelaburan dalam teknologi dan inovasi dan kerjasama dengan Khazanah ini akan memberi peluang besar kepada negara untuk memperluas ekosistem teknologi serta meningkatkan daya saing di peringkat global.

Anda Mungkin Berminat