Lembaga kelayakan Profesion Undang-Undang tidak diaudit 17 tahun

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang tidak diaudit sejak 17 tahun lalu, akui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Katanya, beliau memberi jaminan akan memastikan pengauditan terhadap lembaga tersebut dilaksanakan segera.

“Saya setuju tidak ada pengauditan selama 17 tahun. Kita sedang mengambil tindakan susulan supaya pengauditan dibuat seberapa segera boleh dan semua pemegang taruh dapat tahu berapakah, adakah pengendalian oleh ahli lembaga mengikut undang-undang.

“Saya setuju itu dikatakan PMX bahawa tatakelola perlu telus, supaya rakyat tahu berapa dibelanjakan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin yang mempersoalkan kenapa lembaga tersebut tidak diaudit setelah sekian lama.

Ujar Kulasegaran, beliau mengakui baru sahaja mengetahui perkara tersebut semasa sesi Kamar Khas pada minggu lepas.

Sebelum itu, Kulasegaran memaklumkan, setakat 30 September tahun ini, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang menerima RM4.2 juta bayaran daripada calon peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Katanya, ia merangkumi yuran pemprosesan permohonan RM148,000, ypendaftaran dan peperiksaan CLP untuk calon baru RM3.12 juta, yuran peperiksaan mengulang satu subjek RM71,000 dan yuran mengulang semua subjek RM1.33 juta.

Dalam pada itu, Kee Chin turut bertanya sejauh manakah kebenaran dakwaan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang tidak dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kulasegaran turut mengakui perkara tersebut namun beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.

“Setakat ini tidak membayar cukai akan mendapatkan sebab daripada lembaga, saya percaya akan mendapat jawapan bertulis dan beri kepada YB tetapi mengikut undang-undang saya rasa LHDN tidak mengenakan cukai kepadanya.

“Saya percaya perlu ada perbincangan dan saya akan berikan jawapannya hasilnya,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat