Netanyahu pecat menteri pertahanan

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memecat Menteri Pertahanan Yoav Gallant pada Selasa atas alasan krisis kepercayaan.

Kemudian, beliau menggantikannya dengan sekutu rapat, Israel Katz bagi mengetuai perang negara itu di Gaza dan Lebanon.

Memetik Reuters, selepas pemecatan Gallant, penunjuk perasaan di Israel bertindak menghalang jalan raya dan membakar unggun api di jalanan, menurut polis.

Netanyahu juga melantik Gideon Saar sebagai menteri luar yang baharu menggantikan Katz.

Sebelum itu, Gallant dan Netanyahu bertelagah beberapa bulan mengenai objektif perang 13 bulan Israel di Gaza melawan kumpulan militan Palestin, Hamas.

Namun, pemecatan Gallant berlaku secara mengejut dan pada masa yang sama AS sedang mengadakan pilihan raya presiden.

Pengkritik Netanyahu menuduhnya mengutamakan politik berbanding keselamatan negara, terutama ketika Israel bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan balas Iran atas serangan udara pada 26 Oktober lalu terhadap Republik Islam itu.

Kempen Israel di Gaza dan Lebanon telah memasuki fasa baru selepas pembunuhan komander tertinggi dari Hamas dan Hezbollah.

Anda Mungkin Berminat