Oleh: Shafira Aziz
LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, mengucapkan tahniah atas kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
Dalam kenyataan rasmi beliau, Starmer menekankan komitmennya untuk bekerjasama dengan Trump dalam tahun-tahun yang akan datang, dengan memfokuskan hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Tahniah kepada Presiden terpilih Trump atas kemenangan bersejarah anda dalam pilihan raya.
“Saya menantikan untuk bekerjasama dengan anda pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Starmer menegaskan bahawa kedua-dua negara akan berdiri teguh bersama dalam mempertahankan nilai-nilai bersama seperti kebebasan, demokrasi dan keusahawanan.
“Sebagai sekutu terdekat, kita berdiri seiring dalam mempertahankan nilai-nilai bersama kita iaitu kebebasan, demokrasi, dan keusahawanan,” ujarnya.
Menurut Starmer, hubungan istimewa antara UK dan AS bukan sahaja tertumpu kepada isu keselamatan dan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga akan melibatkan inovasi dan teknologi yang semakin mendominasi ekonomi dunia.
“Dari pertumbuhan dan keselamatan hingga inovasi dan teknologi, saya tahu bahawa hubungan khas UK-AS akan terus berkembang dan memberi manfaat di kedua-dua belah Lautan Atlantik pada masa akan datang,” tambahnya.
Untuk rekod, calon Republikan, Donald Trump menang pilihan raya presiden AS 2024, mengalahkan pencabarnya, Kamala Harris dari parti Demokrat.
Sejak dari awal lagi, beliau sudah jauh meninggalkan Harris apabila media AS meramalkan kemenangan Trump di 20 negeri sebelum ini.
Trump mencatatkan kemenangan besar di Texas dan Ohio, serta beberapa negeri lain yang lebih cenderung menyokong Parti Republikan.