Oleh: Shafira Aziz
KENINGAU: Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun setelah video yang memaparkan tindakan kejamnya memukul seekor anjing hingga mati tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Garai, berkata, laporan awal diterima pada jam 2.26 petang selepas video berkenaan mula menarik perhatian awam.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kejadian tersebut telah berlaku pada 24 Oktober 2024 dan pihak polis menahan lelaki tersebut pada malam yang sama.
Pihak polis turut merampas batang besi yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang menyebabkan kematian haiwan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran video tersebut,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Yampil menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi di media sosial yang mungkin mengganggu proses siasatan.