Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pengikut Global Ikhwan Sdn Bhd (GISBH) dianggarkan seramai 10,500 orang dengan 9,000 orang daripadanya dipercayai berada di dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan telah menyediakan pelan tindakan pemulihan terhadap ahli GISBH meliputi tindakan pemulihan ke atas kanak-kanak yang ditempatkan di pusat penjagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), JKM dan agensi lain yang berkaitan.
“Selain daripada itu, pelan tindakan pemulihan secara sukarela kepada ahli GISBH yang hadir untuk mengikuti sesi pemulihan secara sukarela juga dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis /Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN/JAIN) dan lain-lain agensi berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang bertanya berapa ramaikah yang terlibat dalam rangkaian GISB dan mengapa Kerajaan terlalu lambat mengambil tindakan kepada GISB yang telah digerakkan selepas pengharaman Al-Arqam 1994.
Mohd Naim menjawab, taktik GISBH berselindung di sebalik kegiatan sah di sisi perundangan menjadi punca kelewatan kerajaan mengesan salah laku dan amalan kumpulan itu yang didakwa bergerak sejak pengharaman al-Arqam pada 1994.
Akuinya, bukan tugas mudah dalam melaksanakan kajian komprehensif dan lengkap bagi membuktikan kegiatan kumpulan itu.
“Proses mengumpul bahan bukti dan sumber yang diyakini serta boleh disahkan dari sudut perundangan perlu melalui penelitian tinggi lebih-lebih lagi bagi menangani sesuatu amalan atau ajaran yang berselindung di sebalik aktiviti lain yang kelihatan benar dan sah di sisi undang-undang.
“Proses ini tentunya tidak sukar sekiranya sesuatu ajaran atau amalan itu jelas dan terang-terangan bercanggah dengan syariat Islam dan amalan itu dapat dibuktikan dengan jelas dan kukuh,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak mengikut ruang lingkup fungsi dan peranan yang ada dan tidak melakukan sesuatu tugas melangkaui fungsi pihak berkuasa lain.
“Namun, kerjasama, khidmat nasihat dan perundingan dengan pihak berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri sentiasa dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan proses berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya lagi.
Baca juga: