BEIJING: Kerjasama Strategik Komprehensif antara Malaysia dan China adalah satu langkah penting bagi memperkukuhkan kerjasama dan persahabatan kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengagumi Presiden China, Xi Jinping yang memberi sokongan kepada Malaysia dalam pelbagai kerjasama.
“Satu penghormatan untuk bertemu dengan anda (Jinping) secara rasmi dan juga semasa persidangan. Izinkan saya ucapkan terima kasih atas ramah tamah ini dan juga persahabatan yang terjalin.
“Saya telah mengikuti rapat ucapan cemerlang anda di Kazan semasa BRICS. Terima kasih atas sokongan terhadap perkongsian ini.
“Tetapi yang lebih penting adalah visi anda untuk keselamatan global dan pembangunan global. Saya selalu menekankan peranan unik yang anda mainkan dalam membicarakan nilai dan peradaban yang tidak pernah diungkapkan oleh pemimpin terkenal lain.
“Dan saya rasa itu semangat anda untuk rakyat, golongan miskin dan juga untuk kemanusiaan,” katanya dalam ucapan pembukaan semasa lawatan hormat ke atas Presiden Xi Jinping di Dewan Besar Rakyat, pada Khamis.
Anwar turut menyatakan Jinping adalah suara baru untuk Global South dan di peringkat antarabangsa dengan menerima negara seperti Malaysia bermula dengan perniagaan, perdagangan, dan pelaburan sehinggalah bidang digital, tenaga dan latihan
“Anda telah memberi sokongan besar di mana China telah menerima kami sebagai rakan kongsi.
“Dan telah saya katakan seperti ucapan di Universiti Peking petang tadi, saya melihat visi anda, terutamanya tentang masa depan bersama, yang tidak banyak negara kaya atau negara berjaya lakukan.
“Anda mahu kejayaan China difahami dan dikongsi oleh komuniti antarabangsa. Dan kami sudah tentu memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN yang mengamalkan dasar teknologi China, 5G, dalam pembangunan negara kami. Dan kini kita mempunyai ASEAN ditambah GCC serta China,” katanya.
Tambah Anwar lagi, beliau juga menyatakan 10 negara yang telah bersetuju ini juga tidak sabar menantikan kehadiran China bagi memastikan kejayaan ASEAN.
Ini adalah lawatan rasmi ketiga Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas yang pertama pada Mac 2023 dan lawatan susulan pada September.
Lawatan kerja itu, yang bermula di Shanghai, berakhir di Beijing hari ini.