Kanada haramkan bisnes di TikTok

KANADA mengharamkan TikTok daripada melakukan perniagaan di negara itu atas faktor keselamatan nasional.

Bagaimanapun, kerajaan tidak melarang rakyatnya menggunakan aplikasi tersebut untuk membuat kandungan.

Reuters melaporkan, pengumuman dibuat Menteri Inovasi Francois-Philippe Champagne pada Rabu menyebabkan TikTok perlu menutup pejabat mereka di Toronto dan Vancouver.

“Kerajaan tidak menghalang rakyat Kanada untuk mengakses aplikasi TikTok atau membuat kandungan.

“Bagaimanapun, penting bagi rakyat Kanada untuk mengamalkan kawalan siber yang bagus serta menilai kemungkinan terdapat risiko dalam penggunaan platform atau aplikasi media sosial, termasuk bagaimana maklumat yang sepatutnya dilindungi diurus atau digunakan atau dikongsi oleh pihak asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Champagne, keputusan untuk menghentikan operasi TikTok di Kanada dibuat selepas satu semakan keselamatan yang ketat.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan maklumat dan bukti yang telah dikumpulkan sepanjang semakan dilakukan.

“Ia juga dibuat selepas mendapat nasihat daripada pihak keselamatan dan risikan Kanda serta rakan-rakan kerajaan yang lain,” katanya.

Perkhidmatan Risikan Keselamatan Kanada (CSIS) sebelum ini telah memberi amaran kepada rakyat negara itu untuk berhenti menggunakan TikTok

Dalam pada itu, TikTok berkata, mereka akan mencabar perintah itu di mahkamah.

“Menutup pejabat TikTok di Kanada dan memusnahkan ratusan pekerjaan tempatan yang bergaji tinggi bukanlah kepentingan terbaik sesiapa, dan perintah penutupan hari ini akan melakukan perkara itu,” kata jurucakap TikTok dalam satu kenyataan.

Anda Mungkin Berminat