Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited menyelesaikan isu tunggakan royalti yang berlarutan dalam kalangan penggiat seni.
Dalam majlis Sentuhan Kasih Madani anjuran KPDN, isu pengagihan royalti menjadi fokus utama, terutamanya bagi mereka yang pernah berdaftar di bawah Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PRISM, yang dahulunya bertindak sebagai Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO), dibatalkan statusnya pada 2019 atas kegagalan memenuhi syarat Akta Hak Cipta 1987.
Kesannya, sebanyak RM2.04 juta hasil royalti untuk tahun 2018 kini sedia diagihkan kepada 495 penggiat seni yang layak.
Beliau menjelaskan bahawa sehingga kini, sejumlah RM339,058.57 masih belum dituntut oleh 164 penggiat seni.
“KPDN menggalakkan semua penggiat seni yang layak agar segera membuat tuntutan agar royalti ini dapat dinikmati,” katanya dalam ucapan sempena Sentuhan Kasih MADANI.
Susulan itu, KPDN memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasian CMO yang baru, dijangka berkuat kuasa pada April 2025.
“Dengan adanya garis panduan ini, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan diberi kuasa untuk memantau dan mengawal selia pengurusan kutipan serta pengagihan royalti oleh CMO.
“Kami sedar bahawa penggiat seni memerlukan sistem yang lebih efisien dan telus, terutama dalam hal pengagihan royalti yang menjadi sumber pendapatan utama bagi ramai,” tambahnya.
Garis panduan baru ini dijangka akan memperkukuhkan kedudukan industri seni tempatan dan memberi manfaat yang lebih besar kepada para penggiat seni di Malaysia.
Antara artis yang turut hadir menerima sumbangan daripada KPDN termasuk penyanyi Elyana, Zarul Umbrella dan Francissca Peter.