KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman, dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baru hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menzahirkan keyakinan dengan pengalaman luas Zainal akan memberi impak positif dalam memimpin reformasi dan mempertingkatkan tata kelola di NAFAS.
“Saya yakin dengan pengalaman luas yang ada pada Tan Sri Zainal sebagai mantan KPPA dan juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, beliau akan mampu membantu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk melakukan reformasi dan tata kelola di NAFAS.
“Namun begitu, NAFAS akan terus beroperasi seperti biasa. Semua urusan perniagaan, perkhidmatan dan kakitangan NAFAS kini adalah di bawah arahan Pentadbir dengan dikawalselia oleh Pendaftar PP,” jelasnya dalam pelantikan ringkas pada Khamis.
Beliau turut menaruh harapan agar segala pemulihan NAFAS dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kepentingan 605,552 ahli peladang di seluruh negara.