BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selamat tiba di Beijing selepas menghadiri acara di Shanghai.
Dalam kenyataannya, Anwar menyatakan rasa syukur atas perjalanan yang lancar dan menyatakan bahawa beliau akan meneruskan tugasan di China dengan bertemu Presiden Xi Jinping hari ini.
“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di Beijing usai acara di Shanghai. Insya-Allah, hari ini saya akan meneruskan tugasan di China dan bertemu dengan Presiden Xi Jinping,” katanya.
Pertemuan itu dijangka akan membincangkan pelbagai isu penting yang melibatkan kerjasama antara Malaysia dan China, termasuk dalam bidang ekonomi, teknologi dan diplomasi.
Terdahulu semasa di Shanghai, Anwar mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan dengan empat syarikat terkemuka China.
Sesi itu bermula dengan pertemuan bersama delegasi Bank of China yang diketuai Pengerusinya, Ge Haijiao.
Perbincangan terkait peluang untuk mengukuhkan kerjasama kewangan Malaysia-China, termasuk penyelesaian perdagangan mata wang tempatan.
Pertemuan disusuli dengan delegasi syarikat petrokimia SINOCHEM, diketuai Pengurus Besar Liu Chun yang menyatakan hasrat mengimport bahan kimia bagi pembuatan produk penjagaan diri, kosmetik dan seumpamanya.
Ini selaras dengan keupayaan Malaysia yang mempunyai rangkaian pengilang dan pembekal yang kukuh terutamanya dalam bidang petrokimia.
Seterusnya, Anwar bertemu dengan SICC Co. Ltd, peneraju industri semikonduktor di China yang berkongsi hasrat memperluaskan pasaran di Asia Tenggara.
Beliau juga berkesempatan mengadakan pertemuan dengan syarikat SEMCORP, pengeluar filem pemisah litium-ion terbesar di dunia yang mahu meneroka peluang menubuhkan hab bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam komponen kenderaan elektrik di rantau ini.
“Alhamdulillah, siri perbincangan ini menggambarkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan Kerajaan MADANI mahu terus menarik pelaburan berkualiti, sekali gus mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi,” kata Anwar.