Anggota Malbatt cedera di Lubnan, AMK gesa antarabangsa tanggungjawab

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menzahirkan simpati terhadap enam anggota Batalion Malaysia 850-12 (Malbatt) yang tercedera akibat letupan malam tadi.

Susulan itu, Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim menggesa badan antarabangsa bertanggungjawab atas kejadian itu.

“Akibat insiden tersebut sekali gus mencederakan beberapa orang lain termasuk tentera Lubnan.

“Tindakan melulu ini meletakkan pasukan pengaman dan orang awam dalam bahaya yang serius dan menjejaskan kestabilan di rantau yang sudah tegang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyokong ketegasan dan kelantangan yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia konsisten mengutuk segala unsur keganasan.

“Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk meminta mereka yang bertanggungjawab untuk mengalas tanggungjawab mereka.

“Keselamatan pasukan pengaman mesti dilindungi dan sebarang ancaman kepada mereka dianggap ancaman kepada keamanan itu sendiri,” jelasnya.

Terdahulu,  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan insiden lima anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang baru tiba di Selatan Lubnan cedera akibat terkena letupan manakala seorang anggota MALBATT 850-11 turut tercedera.

Kejadian itu membabitkan serangan Israel di Sidon, Lubnan yang turut mengorbankan tiga nyawa orang awam.

Anda Mungkin Berminat