Dua pengawal keselamatan ditahan, kaitan kehilangan RM1 juta

AMPANG: Polis menahan dua pengawal keselamatan bagi membantu siasatan berkaitan kehilangan wang tunai RM1 juta pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Polis Mohd Azam Ismail, kedua-duanya seorang lelaki berusia 52 tahun dan wanita, 38 tahun telah dibenarkan tahanan reman oleh Mahkamah Ampang selama empat hari bermula 7 hingga 10 November.

“Saringan ujian air kencing ke atas kedua-dua tangkapan menunjukkan keputusan negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kedua-duanya telah dibenarkan tahanan reman oleh Mahkamah Ampang katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Semalam, polis Ampang Jaya mengesahkan telah menerima satu laporan dari orang awam yang menjumpai semula beg berisi wang tunai sebanyak RM1 juta yang dilaporkan hilang pada Rabu.

Difahamkan, beg tersebut didakwa dijumpai berdekatan kawasan pusat beli belah, Ampang Point.

Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan, beg terbabit disahkan milik sebuah syarikat keselamatan serta mengandungi wang tunai sebanyak RM1,071,000.

Justeru, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan bagi membantu laporan yang dibuat tempoh hari.

Anda Mungkin Berminat