IPP Malaysia sederhana tapi atasi AS, Korea dan Thailand


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat secara sederhana pada September tahun ini dengan kadar pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan pertumbuhan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan IPP kali ini, dengan fokus kepada industri berorientasikan eksport seperti pembuatan produk getah dan elektronik.

“Sektor elektrik turut menyumbang kepada pertumbuhan positif dengan peningkatan 3.9 peratus, walaupun sektor perlombongan mencatatkan penurunan sebanyak 2.2 peratus untuk bulan ketiga berturut-turut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Namun, pengeluaran gas asli yang meningkat sebanyak 4.5 peratus mengimbangi sebahagian daripada penurunan ini, mencerminkan prestasi yang lebih baik dalam sektor ini.

Industri berorientasikan domestik juga menyumbang kepada IPP walaupun dengan pertumbuhan perlahan sebanyak 2.7 peratus.

Secara global, prestasi IPP Malaysia mengatasi beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Thailand yang mengalami penurunan pada bulan yang sama.

Sepanjang suku ketiga 2024, IPP Malaysia meningkat 3.9 peratus, dengan sektor pembuatan sebagai penyumbang utama.

Keseluruhannya, walaupun terdapat cabaran dalam sektor perlombongan, IPP Malaysia masih menunjukkan prestasi positif.

“Dengan pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan elektrik, kita optimis dengan potensi pemulihan ekonomi Malaysia,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat