Oleh: Haikal Tajuddin
KUALA LUMPUR: Kemenangan yang diterima oleh Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini antaranya daripada sokongan orang Islam.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata kemenangan itu berlaku atas sumbangan Donald Trump kepada negara Islam terutama di Gaza.
“Perkara yang paling menarik minat saya adalah sewaktu perang di Gaza. Banyak media memaparkan kekejaman dan pembunuhan di negara Islam sehingga menyebabkan persepsi masyarakat awam global berubah, diikuti dengan pandangan dari Amerika Syarikat (AS).
“Donald Trump yang menang pada tahun 2016 lalu, menggunakan isu anti-Islam tetapi kali ini, beliau tidak memainkan isu itu malah menyalurkan sokongan kepada negara Islam.
“Beliau sendiri juga turut mengaku dalam ucapan kemenangannya dengan mengatakan, adanya sumbangan Islam,” katanya dalam program temubual bersama Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau juga menjangkakan Trump bakal memberi ‘ganjaran’ ke atas penyokong Islam.
“Saya menjangkakan dengan kemenangan ini, mungkin Donald Trump akan membalas balik sokongan orang Muslim.
“Tetapi, sama ada ia secara radikal atau mainan politik. Kita tidak tahu malah harus menaruh harapan ke arah yang lebih baik,” ujarnya.
Trump menang pilihan raya Presiden AS apabila berjaya melepasi majoriti 270 undi elektoral yang diperlukan untuk memenangi jawatan itu.
Bekas presiden itu memenangi 277 undi elektoral berbanding 224 yang diperolehi oleh pesaingnya dari parti Demokrat, Kamala Harris.