Iman Tang kecewa ada yang ‘menangguk di air keruh’ isu nyanyian Fazura

DITUDUH sebagai penyebab Fazura menjadi mangsa kecaman susulan nyanyian sumbang secara langsung dalam sebuah program bual bicara di Indonesia, baru-baru ini membuatkan pengurus kepada Nur Fazura, Iman Tang, meluahkan rasa kecewanya.

Dia menjelaskan tiada kaitan dirinya dengan promosi single Bertahan Demi Cinta di negara itu, yang diuruskan sendiri oleh Fazura Studios dan syarikat rakaman, Hits Records.

“Seperti yang pernah dijelaskan, saya memang tiada kena mengena dengan projek lagu berkenaan kerana ia diuruskan sendiri oleh Fazura Studios dan syarikat rakaman, Hits Records,” katanya, memetik Berita Harian.

Iman turut memaklumkan tidak mengetahui mengenai pemergian Fazura ke Indonesia kerana sedang berada di luar negara.

“Saya sendiri terkejut apabila ramai bertanyakan mengenai video persembahan Fazura yang tular, sedangkan saya tak tahu menahu mengenainya.

“Rasa terkilan juga bila ada ‘petik’ nama dan menyalahkan saya tiada inisiatif membimbing Fazura menjadi penyanyi yang bagus hingga dikecam netizen,” tambahnya lagi.

Iman Tang mengulas tindakan beberapa pihak yang menuduhnya tidak membimbing Fazura, termasuklah pelakon Rashidi Ishak yang menyarankan agar Tang mencari guru vokal untuk membantu Fazura meningkatkan kemampuannya dalam menyanyikan lagu bergenre balada yang mencabar.

Selain itu, komposer Iman Wan turut mempersoalkan mengapa seorang pengurus berpengalaman seperti Tang membiarkan artis jagaannya menghadapi risiko menyanyi secara langsung tanpa persediaan yang cukup, sebagaimana yang dikongsikan di Instagram.

Justeru, Tang menyelar tindakan pihak yang dikatakan cuba ‘menangguk di air keruh’ selepas Fazura dan bekas suaminya, Fattah Amin, bercerai.

Sebelum itu, Fazura Studios dan Hits Records dalam kenyataan bersama menjelaskan bahawa pelancaran single berkenaan tiada kaitan dengan urusan peribadi Fazura dan Fattah serta dibuat tanpa niat untuk menyinggung mana-mana pihak.

Mereka menegaskan bahawa perancangan pembikinan single tersebut telah dibuat lebih awal tanpa sebarang pembabitan Iman Tang.

Untuk rekod, single Bertahan Demi Cinta mencuri perhatian ramai setelah dilancarkan sejurus selepas Fazura dan Fattah bercerai pada 7 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.

Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.

Anda Mungkin Berminat