Konsert Aisha Retno dibatalkan kerana jualan tiket rendah

HASRAT penyanyi Aisha Retno untuk menjayakan konsert solo pertamanya tidak kesampaian apabila penganjur, Kharisma Music International, terpaksa membatalkan konsert tersebut.

Pembatalan konsert bertajuk Malam Sutera yang sepatutnya berlangsung pada 16 November depan di Zepp Kuala Lumpur diumumkan oleh Kharisma Music International menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat.

“Kami dengan dukacita mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November depan di Zepp Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan atas sebab jualan tiket yang rendah.

“Pihak pengurusan artis juga tidak bercadang untuk menangguhkan konsert tersebut.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku. Keputusan ini bukanlah dibuat tanpa berfikir panjang. Terima kasih kerana memahami,” tulis mereka dalam satu kenyataan.

Bagi peminat yang sudah membeli tiket, mereka akan menerima e-mel daripada Ticket2u untuk proses pemulangan wang dalam tempoh 7 hingga 14 hari.

Pembatalan ini mengecewakan peminat setia Aisha yang telah menanti-nantikan persembahan idolanya itu.

“Sedih bila baca e-mel konsert Aisha dibatalkan. Saya ternanti-nanti untuk menonton konsert Aisha secara langsung.

“Harap satu hari nanti dapat lihat persembahan Aisha,” luah salah seorang peminatnya dari Singapura di aplikasi X.

Anda Mungkin Berminat