Kukuhkan Akademi Profesor Malaysia, tidak perlu hidupkan semula MPN – Maszlee

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berpendapat tidak perlu menghidupkan semula Majlis Profesor Negara (MPN), sebaliknya perkukuhkan Akademi Profesor Malaysia (APM) sebagai badan yang mewakili pandangan para profesor di negara ini.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkongsi pandangannya berhubung ada cadangan untuk mewujudkan kembali MPN atau membentuk badan pemikir baharu bagi menghimpunkan peranan ahli akademik tempatan.

Maszlee menjelaskan setelah meneliti aktiviti yang dijalankan oleh Akademi Profesor Malaysia, badan tersebut dilihat sudah aktif dalam memberikan pelbagai pandangan kepada kerajaan.

Tambahan pula, katanya, berbeza dengan MPN, APM adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan keahlian yang terdiri daripada profesor dan profesor madya dari semua institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Menurut Maszlee, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, APM dikendalikan oleh suatu Majlis yang dilantik dalam kalangan ahli mereka untuk tempoh dua tahun.

Struktur ini, jelasnya, membolehkan badan itu benar-benar mewakili pandangan para profesor dan ilmuan di Malaysia.

“Sebenarnya perbincangan tentang MPN bukanlah perkara baru. Jemaah Menteri telahpun membincangkan perkara ini pada tahun 2019 dan telah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah badan baru, yang dikenali sebagai Akademi Profesor Malaysia (APM) bagi menggantikan MPN.

“Justeru, pada pandangan saya, tidak ada keperluan untuk pihak kerajaan mewujudkan kembali MPN atau menubuhkan badan baru untuk menggembleng peranan profesor di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, PAC mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji semula penubuhan MPN susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendapati berlaku penyalahgunaan dana oleh ahli lembaga pemegang amanahnya.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG), MPN perlu diletakkan bawah KPT berdasarkan peranannya.

MPN kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2024 Julai lalu mendapati dua ahli lembaga pemegang amanah MPN tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat dan salah guna dana pembiayaan operasi kepada syarikat berjumlah RM373,516.

Menurut laporan itu lagi, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Anda Mungkin Berminat