Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Ibu dan bapa dinasihatkan tidak berdiam diri sekiranya ada anak-anak mereka menjadi mangsa buli di sekolah atau institusi pendidikan.
Peguam, Hafiz Baharuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Lawyer di media sosial berkongsi langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa jika anak mereka menjadi mangsa buli.
“Pertama, sekiranya anak anda adalah mangsa buli secara psikologi, pukulan ringan, tiada kesan yang begitu buruk dan tiada cedera parah, perkara ini masih boleh dilaporkan kepada pihak polis dan laporan tersebut dihantar kepada pengetua untuk siasatan di dalam sekolah bagi memastikan ada tindakan undang-undang diambil.
“Tetapi, kalau anda tidak mahu pelaku dibuang sekolah, anda boleh berbincang dengan pihak sekolah untuk mendapatkan satu hukuman yang lebih sesuai,” katanya dalam satu video ketika mengulas mengenai isu buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini.
Namun, sekiranya anak anda mengalami kesan pukulan, lebam dan cedera parah sehingga dimasukkan ke hospital, Hafiz menegaskan agar perkara itu tidak didiamkan dan ibu bapa perlu mencari individu seperti peguam untuk membawa perkara ini ke mahkamah.
Dalam perkongsian itu, Hafiz juga berkongsi satu kes buli yang mana mangsa telah menang saman terhadap pelaku-pelakunya, lebih RM600,000.
Katanya, kes itu relevan sebagai contoh untuk membantu mangsa-mangsa buli yang memerlukan pertolongan.
“Dalam kes ini, pelaku telah disaman oleh mangsa dan ahli keluarga mereka dan mangsa telah mendapat pampasan yang sangat besar daripada pihak mahkamah.
“Mangsa telah dibuli oleh lima orang pelajar lain di dalam sekolah dan akibat daripada pembulian ini, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, badan dan juga telinga. Yang paling parah adalah telinga sebab mangsa hilang pendengaran secara kekal.
“Selain pelaku, Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Malaysia juga disaman kerana pada waktu itu mereka (mahkamah) membuat hujahan bahawa kesemua pihak ini adalah bertanggungjawab ke atas keselamatan kanak-kanak ini apabila berada di dalam sekolah dan salah satu tanggunggjawab itu adalah pastikan tidak ada kes pembulian yang akibatkan cedera parah berlaku di sekolah tersebut,” katanya.
Untuk rekod, kes tersebut berlaku pada 26 April 2015 di sekolah menengah sains di Terengganu yang melibatkan mangsa ketika itu berumur 14 tahun dan pelaku-pelakunya (17 tahun).
Akibat dipukul, ditendang dan ditampar oleh pelajar senior dalam kejadian buli itu, mangsa kehilangan pendengaran sebelah kanan kerana gegendang telinga pecah menyebabkannya tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup, selain mengalami beberapa kecederaan lain.
Malah, mangsa yang juga pelajar pintar dan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013 turut mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015.
Justeru itu, Hafiz menasihati ibu bapa dan juga mangsa buli untuk tidak berdiam diri dan berjumpa pihak yang dapat membantu mereka untuk memulakan tindakan terhadap pelaku dan juga pihak berkaitan.
Terbaharu, UPNM sekali lagi menjadi bualan hangat berkaitan buli apabila tular gambar seorang pegawai kadet mengalami kecederaan di bahagian kanan dada dipercayai ditekap seterika oleh seorang pegawai kadet senior pada 22 Oktober lalu.
Mangsa telah membuat laporan polis pada 1 November lalu dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
16 individu terdiri daripada mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Seterika yang digunakan suspek untuk menekap badan mangsa juga sudah dirampas sebagai bahan bukti kes itu.
Bagaimanapun, pada Jumaat, tertuduh iaitu Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan mohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan terhadap pelaku, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap juniornya yang berusia 20 tahun, menggunakan seterika wap panas di sebuah bilik asrama universiti berkenaan pada jam 11.45 malam pada tarikh tersebut.