Pengaman PBB dakwa Israel sengaja serang

PASUKAN pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan mendakwa pasukan pertahanan Israel (IDF) dengan ‘pelanggaran ketara’ undang-undang antarabangsa setelah sengaja memusnahkan harta mereka.

Misi PBB (UNIFIL) yang memiliki kekuatan 10,000 anggota, ditempatkan di selatan Lubnan untuk memantau pertempuran di sepanjang ‘garis biru’ yang memisahkan Lubnan dan Israel.

Menurut UNIFIL, kejadian yang turut melibatkan enam anggota pengaman dari Malaysia bukanlah isu pasukan pengaman yang terperangkap dalam pertempuran, tetapi tindakan sengaja dan langsung oleh IDF.

Memetik Reuters, pasukan tersebut menyatakan mereka akan kekal di Lubnan ‘walaupun terdapat tekanan yang tidak boleh diterima ke atas misi mereka’.

Jurucakap UNIFIL berkata tentera Israel tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai kemudahan Hizbullah yang didakwa ditemui itu.

Israel menuduh pasukan UNIFIL mengabaikan tindakan Hizbullah yang membina rangkaian terowong dan infrastruktur lain berhampiran sempadan Israel utara selama lebih daripada sedekad, selalunya dalam jarak yang kelihatan dari pangkalan mereka.

Israel menyatakan bahawa infrastruktur itu adalah sebahagian daripada rancangan Hizbullah untuk melancarkan serangan terhadap Israel seumpama serangan 7 Oktober 2023 terhadap komuniti di selatan Israel oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Jurucakap UNIFIL menyatakan bahawa mereka secara berkala melaporkan lokasi yang mencurigakan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Tambahnya, UNSC setakat ini tidak meminta UNIFIL untuk melucutkan senjata kumpulan bersenjata mewakili pihak kerajaan termasuk Hizbullah.

Anda Mungkin Berminat