ASEAN akan peroleh manfaat, hubungan persahabatan Malaysia- Mesir

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Mesir dalam pelbagai bidang, sambil mengekalkan tradisi persahabatan yang kukuh antara kedua-dua negara.

Ucapan tersebut dibuat semasa pertemuan diplomatik bersejarah bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, di Istana Al-Ittihadiyyah, Mesir, hari ini.

Anwar berkata, Malaysia sangat menghargai sambutan mesra yang diterima daripada Mesir dan menyatakan ucapan terima kasih atas layanan yang luar biasa serta sokongan yang telah diberikan, terutamanya dalam aspek perdagangan dan pelaburan.

“Sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, kami (Malaysia) akan berusaha sebaik mungkin untuk melibatkan diri dan menggalakkan rakan-rakan kami di ASEAN untuk berinteraksi dengan Mesir.

“Mesir merupakan pemain penting di rantau ini dan saya bertekad untuk memastikan ASEAN mendapat manfaat daripada hubungan dengan Mesir,” katanya.

Beliau juga menegaskan komitmen untuk memperluas hubungan dua hala ini dalam pelbagai sektor, termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan budaya, penyelidikan saintifik dan teknologi.

Anwar turut berbangga dengan tindakan yang dibuat oleh Presiden Mesir dalam memberi sokongan kemanusiaan kepada negara yang sedang berperang di Gaza.

“Bukanlah perkara mudah untuk membuat sekatan ke atas negara Israel tetapi anda telah campur tangan secara peribadi dalam beberapa kesempatan untuk memastikan aliran bantuan yang lancar, termasuk membenarkan pesawat tentera kami membawa beberapa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia.

“Saya ingin mewakili rakyat Malaysia untuk mengucapkan terima kasih yang tulus atas sokongan anda dalam memastikan usaha ini berjalan lancar,” ujarnya.

Pertemuan ini menjadi bukti kepada usaha berterusan kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan diplomatik dan memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang, sambil mengekalkan hubungan yang erat dan mesra di antara Malaysia dan Mesir.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat