Oleh: Shafira Aziz
QUETTA: Malaysia mengecam tindakan ganas pengganas yang berlaku semalam di wilayah Balochistan, di sini.
Wisma Putra dengan tegas mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan itu, menyatakan bahawa serangan seperti ini bukan sahaja mengancam kestabilan negara terlibat, tetapi juga keselamatan masyarakat global.
“Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdiri teguh bersama Kerajaan Pakistan dan rakyatnya sewaktu masa yang sukar ini,” kata kenyataan itu pada Ahad.
Dalam kenyataan yang sama, Malaysia juga menekankan komitmen dalam menyokong usaha antarabangsa bagi memerangi keganasan.
“Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha masyarakat antarabangsa memerangi keganasan dan menggalakkan kestabilan serantau,” tambah kenyataan tersebut.
Kedutaan Malaysia di Islamabad turut memberikan perhatian khusus terhadap situasi ini dan memantau perkembangan di lapangan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Pakistan.
Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat insiden tersebut.
Mereka yang memerlukan bantuan konsulat boleh mendapatkan sokongan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad atau Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 40 yang lain cedera dalam satu letupan bom yang berlaku di sebuah stesen kereta api, lapor Reuters.
Angka kematian tersebut disahkan oleh Ketua Polis Balochistan, Mouzzam Jah Ansari menerusi kenyataan yang dikeluarkannya.