Perkahwinan Diraja Tengku Arif Bendahara Diserikan Adat Jawa Unik

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Perkahwinan Diraja Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya Puteri menjadi tumpuan ramai dengan gabungan elemen tradisi Melayu dan adat Jawa yang unik.

Majlis ini menampilkan kekayaan budaya kedua-dua bangsa, menjadikannya peristiwa yang istimewa dan mengesankan.

Menurut hantaran Kesultanan Pahang di Facebook, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan hadir menyaksikan majlis istimewa ini.

“Upacara panggih adalah acara puncak dalam pernikahan adat Jawa yang memiliki makna dan fungsinya bagi pasangan pengantin baharu,” kata hantaran tersebut pada Ahad.

Memetik media Indonesia, Kompas, upacara panggih adalah sebahagian daripada adat perkahwinan tradisional Jawa yang melambangkan pertemuan antara pengantin lelaki dan perempuan setelah sah menjadi suami isteri.

Upacara tersebut dijalankan selepas akad nikah dan merupakan kemuncak penuh simbolisme dalam budaya Jawa, dimana ia menandakan penerimaan dan restu kedua-dua keluarga terhadap perkahwinan yang baru terjalin.

Dalam upacara itu, terdapat beberapa ritual simbolik, seperti lempar sirih dan suapan makanan antara pengantin yang membawa makna mendalam untuk kehidupan baharu pasangan itu.

Lempar sirih, sebagai contoh, adalah simbolik bagi kesediaan kedua-dua pihak menerima satu sama lain dengan ikhlas.

Pengantin lelaki dan perempuan saling melontar daun sirih yang juga melambangkan doa, harapan kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan rumah tangga mereka.

Selepas itu, mereka akan melalui beberapa langkah lagi seperti ‘wijik tebu’ (membersihkan kaki) dan suapan nasi, di mana pasangan memberi makan satu sama lain sebagai tanda kasih sayang dan kesepakatan dalam menjalani kehidupan bersama.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan kerabat diraja yang lain.

Warganet turut memuji gabungan elemen budaya Pahang dan Jawa dalam majlis perkahwinan diraja itu.

“Sangat menarik adat perkahwinan tradisional Jawa Jogja. Alhamdulilah, dua benua disatukan. Tahniah, daulat Tuanku,” kata Edamaz Aba.

Dengan pelbagai elemen budaya yang menghidupkan suasana, majlis itu bukan sahaja mempamerkan adat Jawa yang indah tetapi turut mengukuhkan hubungan budaya antara dua negara serumpun.

Gabungan tradisi ini memberikan pengalaman yang unik dan memperkaya nilai seni dan warisan budaya, mewujudkan satu ikatan yang lebih erat antara masyarakat kedua-dua negara.

Anda Mungkin Berminat