Rasuah adalah ancaman terbesar negara – AMK

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Malaysia menghadapi cabaran besar dalam usaha membangunkan negara, namun amalan rasuah kekal sebagai penghalang utama yang terus menghantui pembangunan dan kemajuan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli menegaskan bahawa AMK melihat isu rasuah sebagai ancaman yang tidak boleh dipandang remeh dalam usaha mencapai Malaysia MADANI.

Dalam kenyataan, beliau menyatakan kekesalan terhadap dakwaan terbaru melibatkan amalan rasuah oleh sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

“Rasuah dalam pelbagai bentuk dan ruang ini telah sekian lama mengkhianati hak rakyat yang sepatutnya dibela,” katanya.

Menurutnya, usaha membangunkan semula negara perlu bebas sepenuhnya daripada sebarang unsur rasuah.

Adam percaya bahawa jika gejala ini tidak dihapuskan, ia akan terus menggagalkan usaha kerajaan dalam mengangkat martabat rakyat dan negara.

Selain itu, beliau turut menyeru agar pihak berkuasa, terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus.

“Kami meletakkan kepercayaan kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyiasat dan memulakan pendakwaan tanpa mengira pihak yang terlibat,” tambahnya.

Ini menunjukkan bahawa AMK komited bahawa pembinaan Malaysia yang bebas rasuah adalah asas penting dalam mencapai Malaysia MADANI yang cemerlang.

Anda Mungkin Berminat