Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyarankan kerajaan untuk mempercepatkan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sebagaimana yang dipersetujui sejak April lalu.
Ketua AMK Segambut, Arshad Hassni menyatakan bahawa walaupun sudah mendapatkan persetujuan, tiada perkembangan lanjut mengenai pelaksanaan cadangan tersebut.
“Satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang telah bersetuju secara prinsip mengenai cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia untuk pindaan akta ini.
“Terdapat keperluan bagi kerajaan untuk mempercepatkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memastikan perlindungan yang lebih komprehensif dan efektif,” katanya.
Arshad turut menyarankan kerajaan untuk mempercepatkan penubuhan Ombudsman Malaysia sebagai badan bebas yang bertanggungjawab menyiasat aduan salah laku dan memastikan keselamatan pemberi maklumat yang lebih sahih dan berkesan.
“AMK percaya bahawa dengan memperkukuhkan perlindungan kepada pemberi maklumat, usaha membanteras rasuah akan menjadi lebih berkesan seiring dengan komitmen yang tinggi oleh kerajaan Malaysia MADANI dalam memastikan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara,” tambahnya.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan daripada seorang pemberi maklumat yang memiliki bukti video melibatkan perbincangan rasuah oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan kebimbangan terhadap keselamatannya akibat pendedahan tersebut.