Ariff Aiman, Tommy Mawat Bakal Dikena Tindakan – FAM

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden perbalahan yang berlaku antara pemain Johor Darul Ta’zim, Ariff Aiman Mohd Hanapi, dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada, pada perlawanan Liga Super 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, bahawa kedua-dua pemain tersebut boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.

“Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sivasundaram turut menasihatkan para pemain supaya dapat mengawal emosi di atas padang kerana tindakan mereka hanya akan mendatangkan masalah kepada diri sendiri jika dikenakan tindakan atau hukuman.

“Secara peribadi, saya melihat ia satu insiden yang serius apabila berlaku tindakan menumbuk dan juga mencekik yang dilakukan oleh kedua-dua pemain tersebut,” kata beliau.

Terdahulu, kegagalan pengadil, Razlan Joffri Ali melayangkan kad merah kepada Ariff Aiman selepas dilihat menumbuk Tommy mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong khususnya di laman media sosial.

Majoriti penyokong bola sepak berpendapat pemain sayap kebangsaan itu seharusnya menerima kad merah kerana menumbuk pemain lawan adalah kesalahan kad merah atas tindakan ganas berdasarkan peruntukan dalam Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat