Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa esok (12 November).
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Mohd Dusuki menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Dusuki, 57, dilahirkan di Machang, Kelantan, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda UndangUndang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau yang turut berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia, mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di AGC.
“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin atas perkhidmatan beliau kepada negara selama memegang jawatan sebagai Peguam Negara,” menurut kenyataan itu.
Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara sebelum ini berkuat kuasa 6 September 2023 menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September 2023.
Baca juga: