AMK: Akta Anti-Buli perlu disegerakan


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyuarakan kebimbangan terhadap insiden buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan dua pelajar mengalami kecederaan parah akibat tindakan pelajar lebih tua (senior).

Ahli Majlis Pimpinan AMK, Nadia Nazri berkata budaya buli dalam institusi pendidikan perlu dihentikan seperti cadangan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar pada 2017 bahawa pentingnya undang-undang khusus untuk menangani isu buli.

“Setiap pelajar berhak kepada persekitaran pembelajaran yang selamat. AMK percaya bahawa usaha membanteras budaya buli memerlukan pendekatan yang komprehensif.

“Selain daripada menilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di mana-mana Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), kami menyeru agar kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah dalam usaha mewujudkan Akta Anti-Buli,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Antara cadangan tersebut ialah menetapkan garis panduan dan prosedur yang seragam di semua institusi, mengenakan hukuman tegas untuk pelaku buli, melindungi pemberi maklumat, menyediakan sokongan psikologi bagi mangsa buli dan menubuhkan badan pemantau khas.

“Akta Anti-Buli ini bukan sekadar untuk mendisiplinkan pelajar, tetapi juga untuk memastikan institusi pendidikan menjadi tempat yang bebas dari ancaman buli dan gangsterisme,” jelasnya.

AMK berharap penggubalan undang-undang ini akan mencetus perubahan budaya dalam institusi pendidikan dan menjadikan persekitaran belajar lebih selamat serta kondusif bagi pembangunan generasi muda negara.

Terdahulu bapa kepada Allahyarham Zulfarhan yang maut dalam jenayah penderaan hingga maut, Zulkarnain Idros, turut mencadangkan perkara sama agar kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus untuk mengatasi semua jenis buli, termasuk fizikal, mental dan emosi.

Anda Mungkin Berminat