Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Setibanya di Riyadh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan istimewa bersama tokoh ulama dan Mantan Mufti Mesir, Syeikh Profesor Ali Jum’ah.
Pertemuan tersebut memperlihatkan komitmen kerajaan MADANI untuk memartabatkan kefahaman dan penghayatan Islam yang komprehensif melalui pengajian turath dan terjemahan karya-karya ilmiah.
“Usaha ini adalah langkah kita untuk memastikan masyarakat mendapat ilmu yang benar serta mendalami pengajaran Islam yang syumul,” kata Anwar dalam kenyataannya.
Sebagai seorang tokoh yang dihormati, Ali Jum’ah kini mengetuai Lajnah Agama dan Wakaf di Parlimen Mesir.
Anwar turut mengambil peluang menjemput beliau melawat Malaysia untuk menyambung kesinambungan pengajaran turath Islami yang sedang digiatkan kerajaan.
Antara usaha tersebut termasuk penganjuran program seperti Majlis Sama’ Hadis Shahih Bukhari yang sedang berlangsung di Putrajaya.
“Kita mahu pendekatan pengajaran yang melibatkan tradisi turath ini terus subur di Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, Anwar tiba di Riyadh semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam bagi menyuarakan pandangan dan membawa mandat rakyat Malaysia mengenai kekejaman berterusan serta isu kemanusiaan yang berpunca daripada tindakan rejim Zionis Israel di Palestin dan Lubnan.
Lawatan ini juga bersempena dengan lawatan rasmi empat harinya ke Mesir, yang bermula Sabtu lepas.