Oleh: Kamilia Ali
KUMPULAN yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu, Exists, bergabung dengan kugiran klasik, Masdo, berjaya membangkitkan semula nostalgia versi moden pada konsert Battle of Time Exists x Masdo Ahad lalu di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.
Perkarangan dewan mula dikerumuni peminat sekitar pukul 7.30 malam yang hadir untuk menyaksikan persembahan dua buah kumpulan yang menjadi siulan ramai tidak mengira lapisan umur.
Sebaik sahaja pintu utama dewan dibuka, para peminat terus memenuhi ruang duduk dan berdebar menantikan persembahan pembukaan daripada kumpulan kesayangan mereka.
Kemunculan Masdo di atas pentas membuatkan para peminat berasa teruja dan bersorak kepada tiga sosok lelaki yang mengenakan bajut sut sama berwarna gold sekali gus membawa semula gaya retro tahun 90-an.
Seterusnya, Masdo membuka tirai dengan mendendangkan lagu Bunga dengan permulaan vokal yang sangat baik serta alunan gitar yang begitu mengasyikkan.
Persembahan diteruskan dengan dendangan lagu-lagu hit kugiran tersebut seperti Janji Manis, Miss Flower Learn To Twist, Dinda, Pujaanku dan banyak lagi seraya membawa penonton terbuai dengan alunan muzik yang mendayu-dayu.
Bukan itu sahaja, selesai sahaja persembahan daripada kugiran popular itu, Exists memgambil alih pentas dengan lagu pembukaan berjudul, Seperti Dulu.
Nyanyian daripada Ezad Lazim berjaya memukau seluruh pelusuk dewan sekali gus membuatkan semua penonton menyanyi bersama.
Ibarat memutar semula kaset radio suatu ketika dahulu, lagu-lagu hit Exists seperti Alasanmu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Janji Padamu dan Jesnita mula memenuhi setiap ruang yang disambut dengan sorakan yang begitu gemuruh dari peminat yang hadir.
Lebih istimewa lagi, Ezad sempat menyapa peminat dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang hadir kerana sentiasa menyokong Exists dari dahulu sehingga sekarang, lalu menghadiahkan lagu Untukmu Ibu versi akustik bagi memenuhi permintaan penonton pada ketika itu.
Sebagai penutup tirai, Exists dan Masdo bersatu di atas pentas dengan membawa lagu Pujaanku membuatkan ramai peminat bangun dari tempat duduk masing-masing dan menari mengikut rentak lagu tersebut.
Kemeriahan konsert tersebut terpancar menerusi senyuman dan nyanyian daripada para penonton serta berhibur bersama sajian persembahan daripada dua kumpulan yang menjadi fenomena dalam dunia muzik tersebut.
Konsert yang berlangsung lebih kurang dua jam lebih itu berjaya membangkitkan aura nostalgia secara tidak langsung membuatkan peminat yang hadir tidak akan lupa akan memori tersebut.
Baca juga: