KPDN Tingkat Fungsi PriceCatcher Dengan Kerjasama Mydin, Redtick

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) terus menambahbaik dan memperkukuh perkongsian data harga barangan menerusi aplikasi PriceCatcher dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua industri peruncitan iaitu pasaraya Mydin dan Redtick.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, melalui kerjasama strategik itu, Mydin dan Redtick akan berkongsi maklumat harga dan produk secara sukarela.

“Komitmen perkongsian data harga ini adalah inisiatif yang menggambarkan ketelusan urus niaga dan etika perniagaan yang tidak mengambil kesempatan melalui amalan sorok harga terhadap pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, katanya, paparan harga dalam aplikasi PriceCatcher diperoleh sepenuhnya melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) di lapangan yang menyebabkan data diperoleh terhad daripada aspek liputan kawasan serta bilangan premis terlibat.

Mengulas lanjut, katanya, perkongsian data harga itu akan menjadi penanda aras untuk diperluaskan ke pasar raya dan premis lain.

Setakat 7 November lalu, purata hanya 10,000 pengguna aktif melayari aplikasi PriceCatcher setiap minggu untuk menyemak harga dan produk, berbanding dengan 459,998 pengguna yang telah memuat turun aplikasi tersebut.

Armizan berharap kerjasama strategik antara KPDN dan sektor peruncitan ini akan menambah baik jumlah data yang terkandung dalam PriceCatcher.

“Kita juga berharap ia menjadi rujukan oleh para pengguna kita sejajar agenda kita meningkatkan penyertaan pengguna sendiri supaya mereka boleh amalkan semak baru beli,” katanya.

Sehingga kini, aplikasi PriceCatcher memaparkan harga bagi 480 barangan keperluan pengguna yang dikemas kini secara harian, meliputi barangan segar, kering, susu, barangan bayi, produk kebersihan, makanan, minuman dan banyak lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat