Oleh: Shafira Aziz
PARLIMEN | Kerajaan telah menaikkan had maksimum geran bagi Agropreneur Muda Start-Up kepada RM30,000 dan memperkenalkan kategori baharu, Agropreneur Muda Scale-Up, dengan jumlah maksimum RM50,000 sehingga Ogos baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, menyatakan perkembangan positif ini dengan pelonggaran had umur penerima geran daripada 18 hingga 43 tahun bagi Start-Up dan 21 hingga 45 tahun bagi Scale-Up.
“Kami ingin memastikan belia mendapat sokongan menyeluruh, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dari aspek latihan dan pemasaran.
“Langkah ini adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai belia dan mereka yang berpengalaman untuk terlibat dalam sektor pertanian secara serius,” katanya dalam Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga pada Rabu.
Sehingga kini, Arthur memaklumkan sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan bagi program ini di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), dengan RM15 juta digunakan untuk geran manakala RM5 juta lagi diperuntukkan untuk latihan dan galakan pasaran.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mengenai cadangan kementerian untuk menambah lebih geran Agropreneur Muda.
Untuk rekod, Program Agropreneur Muda, yang dilancarkan pada 2016 di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), terus menjadi tulang belakang dalam usaha memperkasa belia dalam sektor pertanian.
“Dengan adanya bantuan geran ini, kami mahu membimbing belia agar lebih berdaya saing dalam sektor pertanian,” jelasnya.