Oleh: Syahirah Harish
PARLIMEN: FashionValet berdepan cabaran besar dan kritikal memerlukan suntikan modal segera daripada pelabur baharu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengakui bahawa pelaburan sebanyak RM47 juta ke dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) tidak menghasilkan pulangan seperti diunjurkan.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua entiti itu menegaskan komitmen mereka terhadap pelaburan dalam syarikat pemula (startups), meskipun cabaran dihadapi FashionValet memerlukan tindakan susulan.
“Usaha untuk mendapatkan pelabur baharu ini menghadapi kekangan apabila hanya menerima sedikit tawaran, dan tawaran yang diterima adalah yang terbaik dan dipersetujui oleh semua pemegang saham,” kata Amir Hamzah.
Terdahulu, Khazanah dan PNB memutuskan untuk melabur dalam FashionValet selepas menilai potensi syarikat yang ketika itu memiliki lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk, dengan hasil perniagaan hampir RM60 juta.
Aspirasi FashionValet untuk berkembang sebagai platform membeli-belah pelbagai saluran (omnichannel) serantau disokong melalui pembukaan kedai fizikal dan pembangunan jenama sendiri seperti dUCk dan LILIT.
Namun, FashionValet mengalami kesan ketara akibat COVID-19 dan perubahan trend e-dagang, yang akhirnya memaksa syarikat menutup platformnya dan memberi fokus pada jenama sendiri.
“Cabaran pengumpulan dana juga menjadi halangan dalam usaha FashionValet untuk terus berdaya saing.
:Walaupun Khazanah dan PNB adalah pelabur minoriti, kedua-dua pihak telah memainkan peranan proaktif untuk membantu FashionValet, termasuk memberikan bimbingan strategi dan nasihat kewangan kepada ahli pengurusan tertinggi syarikat,” katanya.
Amir Hamzah turut menegaskan bahawa isu ini tidak akan menghalang Khazanah daripada terus melabur dalam syarikat pemula menerusi Dana Impak untuk memperkukuh ekonomi negara.
Baca juga: