MINDEF Perkenal Langkah Cegah Buli di ALK-UPNM

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang melaksanakan penambahbaikan untuk mencegah kegiatan buli di Akademi Latihan Ketenteraan-Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM).

Menteri MINDEF, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan siasatan dalaman di peringkat ALK-UPNM apabila terdapat aduan atau laporan.

Antara mekanisme pencegahan yang diambil adalah pengasingan Pegawai Kadet Tahun 1 di bawah kelolaan Jurulatih sepenuhnya kerana golongan ini biasanya menjadi sasaran.

“Pihak ATM telah menetapkan seorang jurulatih bertugas untuk setiap kompeni bagi membolehkan pemantauan pegawai kadet yang lebih teliti setiap hari.

“Jurulatih bertugas diarahkan untuk melakukan rondaan ke penginapan pegawai kadet selepas jam 11:59 malam setiap hari,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

MINDEF juga merancang untuk menambah jumlah kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa aras blok penginapan bagi mengesan aktiviti mencurigakan.

Tambah Khaled, pegawai kadet akan menjalani pemeriksaan fizikal berkala untuk mengesan sebarang aktiviti penderaan yang boleh mendatangkan kecederaan.

“Turut diadakan, sesi pertemuan antara pegawai kadet dan pihak tertinggi ALK-UPNM secara eksklusif untuk memberi ruang bebas tanpa perasaan takut bagi mendapatkan maklumat salah laku dalam kalangan pegawai kadet,” katanya.

Mekanisme pencegahan buli yang akan ditambah baik termasuk tindakan pemberhentian terhadap Pegawai Kadet yang didapati bersalah serta penambahan perjawatan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang ditugaskan di ALK-UPNM.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat