Roadmap to MyDigital Justice 2025: Transformasi Sektor Perundangan

Oleh: Syahira Harish

PARLIMEN: Kerajaan MADANI mengumumkan pelancaran Roadmap to MyDigital Justice 2025 sebagai langkah revolusi sektor perundangan negara selaras dengan kemajuan teknologi, termasuk penerapan kecerdasan buatan (AI).

Pelan induk ini akan dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi serta pihak berkaitan yang bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan perundangan, memudahkan proses penggubalan undang-undang dan menjimatkan masa kerja.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, inisiatif itu bertujuan memperhebat kecekapan sektor perundangan Malaysia.

“Dokumen ini bakal merangkumi objektif, strategi, serta inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan sektor perundangan negara kekal relevan dan selaras dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Katanya, antara fokus utama pelan ini adalah memastikan tenaga kerja dalam bidang perundangan lebih kritis dan analitik berbanding sistem AI.

Azalina menegaskan bahawa AI harus dilihat sebagai alat bantu yang berpotensi dan bukan pengganti peranan manusia sepenuhnya.

“Penghasilan satu halatuju jelas adalah amat penting untuk ‘adopt and embrace’ AI yang akan membantu melancarkan kerja-kerja perundangan secara telus, sistematik, adil dan selamat melalui satu platform atas talian,” tambahnya.

Dalam menjawab persoalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai persediaan kerajaan dalam menerimapakai sistem/teknologi AI dalam sektor perundangan negara, Azalina menyatakan bahawa langkah ini juga mengambil inspirasi dari negara-negara lain yang telah mengawal selia AI, seperti Kesatuan Eropah dengan Akta AI EU.

“Langkah ini menekankan elemen ketelusan dan keselamatan bagi melindungi masyarakat,” jelasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat