Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melancarkan sistem hebahan amaran awal banjir kepada orang ramai menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Ketua NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan sistem ini.
Menurutnya, sistem ini akan dibiayai oleh syarikat telekomunikasi termasuk CelcomDigi, Maxis, UMobile, TM/Webe, YTL, Time, DNB, XOX, Tune Talk, RedONE Network, BeONE Network dan Valyou/HelloSim Network.
“Semua syarikat telekomunikasi terbabit bersetuju untuk menanggung sepenuhnya kos makluman SMS sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Syarikat telekomunikasi akan menerima notis awal daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), NADMA.
“Apabila NDCC menerima amaran banjir daripada JPS, amaran tersebut akan dipancarkan kepada penduduk di kawasan berisiko banjir,” kata Khairul dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, inisiatif ini merupakan langkah awal persediaan menghadapi potensi banjir termasuk penyelarasan pengurusan bencana di peringkat daerah dan negeri.
“Syarikat telekomunikasi akan membantu menyebarkan nasihat dan amaran banjir secara percuma untuk meningkatkan kesedaran komuniti terjejas dan menggalakkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan segera,” katanya.
Katanya, syarikat telekomunikasi juga telah memperkasakan tapak stesen pangkalan di 442 lokasi setakat Oktober 2024.
“NADMA mengingatkan semua syarikat telekomunikasi supaya memantau kawasan berisiko tinggi dan menyediakan penjana kuasa sandaran serta menara stesen pangkalan mudah alih bagi meminimumkan gangguan perkhidmatan,” katanya lagi.
Contoh SMS yang akan dihantar ialah, “NADMA: Banjir dijangka berlaku di kampung-kampung di Daerah Sik dari 6:00 petang hingga 11:00 malam, 28/10/2024. Lawati portal bencana NADMA untuk maklumat lanjut.”
Untuk info, pada Monsun Timur Laut yang lalu, sebanyak 5,033,286 amaran SMS telah dikeluarkan kepada kumpulan sasar oleh semua syarikat telekomunikasi.
Baca juga: