Anwar kongsi dasar negara tentang AI

LIMA (PERU): Malaysia berhasrat memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) bagi mencapai pertumbuhan inklusif, menangani jurang digital dan isu etika.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan juga sedang mewujudkan kerangka yang memberi tumpuan kepada inovasi dan keterangkuman terkait AI.

“Dalam sesi dialog bersama pemain utama dalam industri teknologi dan digital, saya telah mengupas pandangan serta berkongsi dasar negara terkait peluang dan cabaran dalam revolusi (AI).

“Saya turut menekankan keperluan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran profesional muda dalam bidang AI bagi menangani keperluan industri serta mempercepatkan kemajuan dan pendigitalan.

“Terdapat juga keperluan pendekatan pelbagai aspek dalam penerapan AI, termasuk pelaburan dalam tenaga hijau, pemuliharaan air, dan reformasi peraturan birokrasi agar lebih responsif kepada pelabur,” katanya yang menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2024 pada Khamis.

Anwar turut menjelaskan kepentingan untuk bekerjasama menerusi ASEAN, seperti inisiatif hijau ASEAN dan agenda digital Bersama.

“… untuk melengkapkan kekuatan setiap negara dan menangani cabaran bersama.

“Malaysia komited memacu pertumbuhan mampan termasuk semasa menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan saya menyeru kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan, industri, dan komuniti untuk membuka peluang dalam ruang digital serta memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam era kemajuan digital yang pesat,” katanya.

Beliau turut menegaskan walaupun ada gangguan dengan AI, namun semua pihak mesti memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan dan latihan bagi mewujudkan syarat yang tepat untuk kejayaan di masa depan.

Anda Mungkin Berminat