PETALING JAYA: Kerajaan berusaha memperkenalkan satu rang undang-undang (RUU) bagi melindungi pekerja dalam ekonomi gig dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengumumkan usaha ini bertujuan menjaga kebajikan pekerja gig yang selama ini beroperasi di luar skop undang-undang buruh tradisional.
“RUU ini akan akan melindungi pekerja gig yang telah lama berjuang dalam keadaan yang tidak terjamin.
“Kami komited untuk membentangkan rang undang-undang ini demi melindungi hak mereka,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Kesatuan Sekerja Kebangsaan 2024 pada Khamis.
Terdahulu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia mencadangkan sidang meja bulat diadakan melibatkan semua pihak sebagai langkah bina dasar dan perundangan yang menyeluruh serta adil bagi industri ini.
“Kami mahu menjadi entiti semak dan imbang serta membantu mengharmonikan dasar agar RUU ini benar-benar membawa perubahan positif,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Persatuan tersebut berharap agar RUU itu mampu menjadi titik tolak dalam agenda Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kebajikan pekerja gig dan optimis bahawa inisiatif itu akan membuka lembaran baharu untuk pengiktirafan dan pembelaan yang lebih menyeluruh terhadap golongan pekerja gig di Malaysia.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa RUU ini akan menyediakan jaringan keselamatan untuk pekerja gig dengan perlindungan yang menyeluruh.
Ia termasuk sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), serta kemudahan rawatan perubatan.
RUU ini diharapkan dapat melindungi sekitar 1.16 juta pekerja gig di seluruh negara, memberikan mereka hak dan sokongan sosial yang lebih baik.
Baca juga: